Tuesday, August 24, 2010

STS 1997 Alumni :: one for all and all for one!

Salam 1STS.

Semangat sungguh aku mengetuk2 papan kekunci komputer riba aku menjelang pertemuan kita 28 ogos ni..hehe. tatau kenapa, mungkin sebab seronok, eksaited, nak jumpa kawan2 lama. Begitu juga rasanya nak berjumpa kawan2 yang mungkin aku tak kenal. bila lagi mau berkenalan kan? inilah masanya. kan?

Makanyakan, kita semua ni sebenarnya dah wujudkan satu bentuk perkumpulan atau networking yang dinamakan STS 1997 Alumni. Dari seorang demi semua, dan dari semua demi seorang..itulah gaya yang perlu kita perihalkan dalam perkumpulan kecik kita ni.

Mana tau, hasil group kecik kita ni, ada dalam kalangan kita yang dah dapat banyak hasil mahsul perkongsian ilmu, keuntungan wang ringgit, etc. Ada kawan2 yang buat bisnes, kita sebagai 'kawan2' dia dapat potongan harga gila2, ada kawan2 yang buat kenduri kawin, kita kawan2 dia dapat makan free (;p), ada kawan2 balik dari berjalan2 merata dunia, kita kawan2 dia dapat sourvenir, dan begitu jualah adanya sehingga ke tahap, 'kawan2' dalam alumni kita ni memberi faedah hingga ke khidmat nasihat dan pedoman merungkai permasalahan kehidupan harian...ye dok?

Di kesempatan ni, aku nak titipkan sikit akan hal kita berkawan2 dalam konteks perkumpulan kecik kita ni mengikut ajaran Islam yang syumul. Sebab Islam itu sempurna, maka apa yang disyariatkannya adalah demi kesempurnaan hidup kita jugak dalam erti kata kumpulan atau komuniti kecik kita nih...

Konsep Kumpulan dalam Islam
Dalam Islam konsep kumpulan adalah konsep yang murni yang sangat releven dan sesuai diaplikasikan dalam mewujudkan keharmonian sesama ahli dalam kumpulan. Sebagai misalannya kumpulan usrah atau kumpulan perbincangan berkaitan hal-hal ibadah, tauhid, dakwah islamiyyah dan sebagainya. Islam menggariskan beberapa panduan atau perkara tunjang dalam rukun ikatan atau susunan usrah yang jelas menggambarkan banyak persamaannya dengan konsep kumpulan konvensional yang digagaskan barat:

1. Perlunya berkenalan antara satu sama lain dalam kumpulan. Ini bertujuan memupuk semangat ukhwah (persaudaraan) serta berkasih sayang.
2. Perlunya persefahaman. Agama itu nasihat dan sikap nasihat-menasihati itu sangat digalakkan dalam kumpulan.
3. Wujudnya tanggungjawab perseimbangan melalui amalan ’caring’ dan memelihara sesama sendiri (takaful). Amalan ziarah-menziarahi misalannya meneguhkan semangat persaudaraan kumpulan.
4. Wujud tanggungjawab menghadirkan diri ke pertemuan-pertemuan yang telah dijadualkan oleh kumpulan (misalnya untuk membendung kesulitan dan bermuzakarah).

Mendapatkan Keredhaan Allah SWT
Sesebuah kumpulan secara dasarnya juga perlu meletakkan unsur mendapatkan keredhaan Allah SWT sebagai matlamat utama kumpulan Ini selaras dengan Rububiyyah, konsep yang menerangkan sifat Allah SWT sebagai penguasa alam maya ini. Allah SWT yang berkuasa membuat peraturan untuk mengarah, mengawal dan mentadbir manusia supaya menjadi sempurna dan sejahtera.

Firman Alah SWT, maksudnya:
"Hai sekalian manusia, bertakwalah kamu kepada Rabb kamu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu" -- Surah An Nisa’: 1

Rasionalnya, setiap ahli dalam sebuah kumpulan kecil perlu sedar bahawa tanpa izin dan keredhaan-Nya, maka segala apa pun yang dirancang, dilaksana dan diharapkan tidak akan dapat dijadikan kenyataan.

Jika matlamat dan pelaksanaan sesuatu itu didasari oleh niat dan perlakuan yang negatif atau pun menyimpang, maka penyudahan yang buruk dan negatif jualah yang akan menjadi padah di akhirnya. Ia selaras dengan Firman Allah SWT, maksudnya:
"Telah jadi nyata bahawa kerosakan di dunia (darat dan laut) disebabkan oleh perbuatan manusia; dengan itu Allah menjadikan mereka merasa sebahagian daripada akibat perbuatan mereka agar mereka kembali ke jalan yang benar".
Surah Al-Rum: 41

Amar makruf, nahi mungkar
Sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, tidak lain dan tidak bukan manusia perlulah mengimarah dan memakmurkan dunia ini dengan melaksanakan apa yang dikatakan sebagai ‘amar ma’ruf, nahi mungkar’ (memperbanyakkan amalan yang baik dan menjauhkan diri daripada perbuatan keji dan kemungkaran). Islam mewajibkan pelaksanaan amar makruf dan nahi mungkar untuk menjaga keseimbangan masyarakat dan menjauhkannya dari kesesatan dan kejatuhan. Allah s.w.t berfirman:

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang–orang yang beruntung"
( Surah Ali Imran: 104)

Di dalam sesebuah kumpulan kecil, pasti luas ruangnya untuk setiap ahli saling bantu-membantu dan tegur-menegur ke arah kebaikan. Mana ahli yang celik dan berpengetahuan membimbing ahli-ahli lain yang terleka atau tersasar dari landasan sebenar seperti mana kata orang tua-tua ‘yang mana tertidur mari dikejutkan, yang mana berkhayal mari disedarkan, yang mana matanya buta mari dipimpinkan’. Dengan berpegang teguh kepada konsep amar makruf nahi mungkar ini, pasti keharmonian dalam sesebuah kumpulan kecil dapat dikekalkan. Tiada pecah belah atau konflik melampau berlaku dek kerana wujudnya mekanisme kawalan yang berasaskan keredhaan Allah SWT ini.

Hubungan ahli kumpulan yang teguh
Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Konsep kemuafakatan dalam masyarakat secara umumnya dan dalam kumpulan kecil secara khususnya adalah satu penjana yang melestarikan kesinambungan hubungan yang sihat dan murni di kalangan ahli-ahli. Apabila memperkatakan tentang hubungan ahli-ahli kumpulan, kita perlu kembali kepada kenyataan bahawa berdasarkan Islam sesuatu hubungan adalah terbahagi kepada dua iaitu hubungan manusia dengn Allah SWT dan hubungan manusia sesama manusia (hablum minallah, wahablum minannas). Rasululah SAW sendiri berusaha sepenuhnya meneguhkan hubungan sesama manusia semasa pembentukan kerajaan Islam di Madinah. Baginda membahagikan hubungan sesama mausia itu kepada dua:
a. Hubungan umat Islam sesama mereka, dan
b. Hubungan umat Islam dengan bukan Islam, dalam usaha menyebarluaskan dakwah Islamiyyah dan fahaman yang jelas tentang Islam.

Berdasarkan kepada hubungan yang digagaskan oleh Rasulllah SAW ini, jelas bahawa selain daripada hubungan manusia dengan Pencipta yang maha kuasa, hubungan sesama manusia yang murni menjadi asas utama dalam pembentukan Negara Islam yang kukuh bentengnya dari aspek fizikal, emosi, rohani dan jasmaninya. Ironi usaha Rasulullah SAW ini kepada sesebuah kumpulan adalah betapa pentingnya setiap ahli untuk berpegang kepada tali persaudaraan dan perhubungan sesama mereka dan sentiasa menyuburkan kemurnian perhubungan tersebut umpama air yang dicincang tak akan putus. Dengan berpandukan kepada ajaran Islam dan ketaqwaan kepada Allah SWT, pasti sesebuah kumpulan itu akan sentiasa mantap dan tidak akan berkrompomi terhadap sebarang persengketaan dan perpecahan. Firman Allah SWT maksudnya:
"Berpegang teguhlah dengan tali (agama) Allah bersama-sama dan janganlah pula berpecah belah". (Surah Ali Imran: 103)

Kekuatan sesebuah kumpulan
Sayid Sabiq pemimpin tertinggi Ikhwanul Muslimin ada mengagaskan bahawa untuk sesebuah masyarakat Islam berjaya mereka perlu mempunyai 7 jenis kekuatan (http://members.tripod.com/lamanqs, 2001).

Kekuatan-kekuatan yang dinyatakan oleh Sayid Sabiq ini sebenarnya sangat relevan untuk dilaksanakan oleh kumpulan kecil. Kekuatan-kekuatan tersebut adalah sebagai mana berikut:

a. Kekuatan Akidah – Ianya adalah keimanan mutlak kepada Allah
b. Kekuatan Ilmu - Ilmu merupakan sumber utama penegak peribadi manusia, penyingkap hakikat kewujudan sesuatu benda/perkara di alam nyata.
c. Kekuatan Budi Pekerti - Ianya dengan cara menyucikan jiwa sehingga dapat berkembang di atas jalan yang lurus menuju ke arah kemuliaan dan keluhuran rohani.
d. Kekuatan Ekonomi – Berusaha memperolehi kekayaan, kemakmuran bumi, dan mengambil kemanfaatan dari sumber alam.
e. Kekuatan Ikatan Masyarakat (kumpulan) - Usaha menggerakkan masyarakat di atas dasar kemerdekaan, keadilan, kesamarataan, mengikut syariat Islam, bekerja kuat, pergaulan yang baik dan undang–undang yang adil.
f. Kekuatan Susunan Perdamaian - Pelaksanaan perdamaian yang berteraskan kepada hormat–menghormati antara sesama manusia, menjamin hak manusia dan melindungi semua perjanjian.
g. Kekuatan Jihad - Memberi pengorbanan nyata demi membela hak umat sejagat dan hak Islam, serta memperolehi kehidupan yang merdeka dari segi pemikiran dan tingkah laku.

Kesimpulan
’Muafakat membawa berkat’, ’yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’, dan ’hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’ adalah peribahasa Melayu yang cukup cantik menterjemahkan apa yang diharapkan berlaku dalam satu-satu kumpulan kecil.

Dalam sesebuah kumpulan kecil, setiap ahlinya perlu sedar bahawa mereka memainkan peranan dalam menggerakkan hala tuju yang dikongsi bersama dan mencapai matlamat yang ditetapkan. Untuk itu setiap ahli dalam kumpulan tersebut perlu bijak memanipulasi unsur-unsur input, peluang berinteraksi dan bertukar idea sesama ahli, dan menambah nilai dalam kumpulan melalui interaksi dengan persekitaran luar untuk mencapai output yang dikehendaki.

Panduan dan syariat yang ditetapkan oleh ajaran Islam memberikan gambaran lebih jelas bagi setiap ahli dalam kumpulan kecil dalam memacu pembangunan kumpulan demi keperluan peribadi, kepentingan semua ahli dan mencapai keredhaan Allah SWT.

GITULAH ADANYA...

Harap2nya dapatlah kawan2 semua sebarluaskan blog alumni kita ni kepada kawan2 sama batch dengan kita nih. harap2 keahlian group tak formal kita ni akan bertambah dan berkembang biak dengan cepat!

wassalam, adios amigos!

Neezam,
Gemereh

No comments: