Saturday, August 28, 2010

MBPSTS1997 - Siri 2010 : Final Update

Berikut adalah Senarai Penuh Kehadiran/Menu dan Aturcara Majlis MBPSTS1997 - Siri 2010

Selamat berpuasa kepada semua








Mudah-mudahan ALLAH pertemukan kita dalam suasana yang diberkati di majlis tersebut
...Insyaallah...


Tuesday, August 24, 2010

STS 1997 Alumni :: one for all and all for one!

Salam 1STS.

Semangat sungguh aku mengetuk2 papan kekunci komputer riba aku menjelang pertemuan kita 28 ogos ni..hehe. tatau kenapa, mungkin sebab seronok, eksaited, nak jumpa kawan2 lama. Begitu juga rasanya nak berjumpa kawan2 yang mungkin aku tak kenal. bila lagi mau berkenalan kan? inilah masanya. kan?

Makanyakan, kita semua ni sebenarnya dah wujudkan satu bentuk perkumpulan atau networking yang dinamakan STS 1997 Alumni. Dari seorang demi semua, dan dari semua demi seorang..itulah gaya yang perlu kita perihalkan dalam perkumpulan kecik kita ni.

Mana tau, hasil group kecik kita ni, ada dalam kalangan kita yang dah dapat banyak hasil mahsul perkongsian ilmu, keuntungan wang ringgit, etc. Ada kawan2 yang buat bisnes, kita sebagai 'kawan2' dia dapat potongan harga gila2, ada kawan2 yang buat kenduri kawin, kita kawan2 dia dapat makan free (;p), ada kawan2 balik dari berjalan2 merata dunia, kita kawan2 dia dapat sourvenir, dan begitu jualah adanya sehingga ke tahap, 'kawan2' dalam alumni kita ni memberi faedah hingga ke khidmat nasihat dan pedoman merungkai permasalahan kehidupan harian...ye dok?

Di kesempatan ni, aku nak titipkan sikit akan hal kita berkawan2 dalam konteks perkumpulan kecik kita ni mengikut ajaran Islam yang syumul. Sebab Islam itu sempurna, maka apa yang disyariatkannya adalah demi kesempurnaan hidup kita jugak dalam erti kata kumpulan atau komuniti kecik kita nih...

Konsep Kumpulan dalam Islam
Dalam Islam konsep kumpulan adalah konsep yang murni yang sangat releven dan sesuai diaplikasikan dalam mewujudkan keharmonian sesama ahli dalam kumpulan. Sebagai misalannya kumpulan usrah atau kumpulan perbincangan berkaitan hal-hal ibadah, tauhid, dakwah islamiyyah dan sebagainya. Islam menggariskan beberapa panduan atau perkara tunjang dalam rukun ikatan atau susunan usrah yang jelas menggambarkan banyak persamaannya dengan konsep kumpulan konvensional yang digagaskan barat:

1. Perlunya berkenalan antara satu sama lain dalam kumpulan. Ini bertujuan memupuk semangat ukhwah (persaudaraan) serta berkasih sayang.
2. Perlunya persefahaman. Agama itu nasihat dan sikap nasihat-menasihati itu sangat digalakkan dalam kumpulan.
3. Wujudnya tanggungjawab perseimbangan melalui amalan ’caring’ dan memelihara sesama sendiri (takaful). Amalan ziarah-menziarahi misalannya meneguhkan semangat persaudaraan kumpulan.
4. Wujud tanggungjawab menghadirkan diri ke pertemuan-pertemuan yang telah dijadualkan oleh kumpulan (misalnya untuk membendung kesulitan dan bermuzakarah).

Mendapatkan Keredhaan Allah SWT
Sesebuah kumpulan secara dasarnya juga perlu meletakkan unsur mendapatkan keredhaan Allah SWT sebagai matlamat utama kumpulan Ini selaras dengan Rububiyyah, konsep yang menerangkan sifat Allah SWT sebagai penguasa alam maya ini. Allah SWT yang berkuasa membuat peraturan untuk mengarah, mengawal dan mentadbir manusia supaya menjadi sempurna dan sejahtera.

Firman Alah SWT, maksudnya:
"Hai sekalian manusia, bertakwalah kamu kepada Rabb kamu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu" -- Surah An Nisa’: 1

Rasionalnya, setiap ahli dalam sebuah kumpulan kecil perlu sedar bahawa tanpa izin dan keredhaan-Nya, maka segala apa pun yang dirancang, dilaksana dan diharapkan tidak akan dapat dijadikan kenyataan.

Jika matlamat dan pelaksanaan sesuatu itu didasari oleh niat dan perlakuan yang negatif atau pun menyimpang, maka penyudahan yang buruk dan negatif jualah yang akan menjadi padah di akhirnya. Ia selaras dengan Firman Allah SWT, maksudnya:
"Telah jadi nyata bahawa kerosakan di dunia (darat dan laut) disebabkan oleh perbuatan manusia; dengan itu Allah menjadikan mereka merasa sebahagian daripada akibat perbuatan mereka agar mereka kembali ke jalan yang benar".
Surah Al-Rum: 41

Amar makruf, nahi mungkar
Sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, tidak lain dan tidak bukan manusia perlulah mengimarah dan memakmurkan dunia ini dengan melaksanakan apa yang dikatakan sebagai ‘amar ma’ruf, nahi mungkar’ (memperbanyakkan amalan yang baik dan menjauhkan diri daripada perbuatan keji dan kemungkaran). Islam mewajibkan pelaksanaan amar makruf dan nahi mungkar untuk menjaga keseimbangan masyarakat dan menjauhkannya dari kesesatan dan kejatuhan. Allah s.w.t berfirman:

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang–orang yang beruntung"
( Surah Ali Imran: 104)

Di dalam sesebuah kumpulan kecil, pasti luas ruangnya untuk setiap ahli saling bantu-membantu dan tegur-menegur ke arah kebaikan. Mana ahli yang celik dan berpengetahuan membimbing ahli-ahli lain yang terleka atau tersasar dari landasan sebenar seperti mana kata orang tua-tua ‘yang mana tertidur mari dikejutkan, yang mana berkhayal mari disedarkan, yang mana matanya buta mari dipimpinkan’. Dengan berpegang teguh kepada konsep amar makruf nahi mungkar ini, pasti keharmonian dalam sesebuah kumpulan kecil dapat dikekalkan. Tiada pecah belah atau konflik melampau berlaku dek kerana wujudnya mekanisme kawalan yang berasaskan keredhaan Allah SWT ini.

Hubungan ahli kumpulan yang teguh
Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Konsep kemuafakatan dalam masyarakat secara umumnya dan dalam kumpulan kecil secara khususnya adalah satu penjana yang melestarikan kesinambungan hubungan yang sihat dan murni di kalangan ahli-ahli. Apabila memperkatakan tentang hubungan ahli-ahli kumpulan, kita perlu kembali kepada kenyataan bahawa berdasarkan Islam sesuatu hubungan adalah terbahagi kepada dua iaitu hubungan manusia dengn Allah SWT dan hubungan manusia sesama manusia (hablum minallah, wahablum minannas). Rasululah SAW sendiri berusaha sepenuhnya meneguhkan hubungan sesama manusia semasa pembentukan kerajaan Islam di Madinah. Baginda membahagikan hubungan sesama mausia itu kepada dua:
a. Hubungan umat Islam sesama mereka, dan
b. Hubungan umat Islam dengan bukan Islam, dalam usaha menyebarluaskan dakwah Islamiyyah dan fahaman yang jelas tentang Islam.

Berdasarkan kepada hubungan yang digagaskan oleh Rasulllah SAW ini, jelas bahawa selain daripada hubungan manusia dengan Pencipta yang maha kuasa, hubungan sesama manusia yang murni menjadi asas utama dalam pembentukan Negara Islam yang kukuh bentengnya dari aspek fizikal, emosi, rohani dan jasmaninya. Ironi usaha Rasulullah SAW ini kepada sesebuah kumpulan adalah betapa pentingnya setiap ahli untuk berpegang kepada tali persaudaraan dan perhubungan sesama mereka dan sentiasa menyuburkan kemurnian perhubungan tersebut umpama air yang dicincang tak akan putus. Dengan berpandukan kepada ajaran Islam dan ketaqwaan kepada Allah SWT, pasti sesebuah kumpulan itu akan sentiasa mantap dan tidak akan berkrompomi terhadap sebarang persengketaan dan perpecahan. Firman Allah SWT maksudnya:
"Berpegang teguhlah dengan tali (agama) Allah bersama-sama dan janganlah pula berpecah belah". (Surah Ali Imran: 103)

Kekuatan sesebuah kumpulan
Sayid Sabiq pemimpin tertinggi Ikhwanul Muslimin ada mengagaskan bahawa untuk sesebuah masyarakat Islam berjaya mereka perlu mempunyai 7 jenis kekuatan (http://members.tripod.com/lamanqs, 2001).

Kekuatan-kekuatan yang dinyatakan oleh Sayid Sabiq ini sebenarnya sangat relevan untuk dilaksanakan oleh kumpulan kecil. Kekuatan-kekuatan tersebut adalah sebagai mana berikut:

a. Kekuatan Akidah – Ianya adalah keimanan mutlak kepada Allah
b. Kekuatan Ilmu - Ilmu merupakan sumber utama penegak peribadi manusia, penyingkap hakikat kewujudan sesuatu benda/perkara di alam nyata.
c. Kekuatan Budi Pekerti - Ianya dengan cara menyucikan jiwa sehingga dapat berkembang di atas jalan yang lurus menuju ke arah kemuliaan dan keluhuran rohani.
d. Kekuatan Ekonomi – Berusaha memperolehi kekayaan, kemakmuran bumi, dan mengambil kemanfaatan dari sumber alam.
e. Kekuatan Ikatan Masyarakat (kumpulan) - Usaha menggerakkan masyarakat di atas dasar kemerdekaan, keadilan, kesamarataan, mengikut syariat Islam, bekerja kuat, pergaulan yang baik dan undang–undang yang adil.
f. Kekuatan Susunan Perdamaian - Pelaksanaan perdamaian yang berteraskan kepada hormat–menghormati antara sesama manusia, menjamin hak manusia dan melindungi semua perjanjian.
g. Kekuatan Jihad - Memberi pengorbanan nyata demi membela hak umat sejagat dan hak Islam, serta memperolehi kehidupan yang merdeka dari segi pemikiran dan tingkah laku.

Kesimpulan
’Muafakat membawa berkat’, ’yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’, dan ’hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’ adalah peribahasa Melayu yang cukup cantik menterjemahkan apa yang diharapkan berlaku dalam satu-satu kumpulan kecil.

Dalam sesebuah kumpulan kecil, setiap ahlinya perlu sedar bahawa mereka memainkan peranan dalam menggerakkan hala tuju yang dikongsi bersama dan mencapai matlamat yang ditetapkan. Untuk itu setiap ahli dalam kumpulan tersebut perlu bijak memanipulasi unsur-unsur input, peluang berinteraksi dan bertukar idea sesama ahli, dan menambah nilai dalam kumpulan melalui interaksi dengan persekitaran luar untuk mencapai output yang dikehendaki.

Panduan dan syariat yang ditetapkan oleh ajaran Islam memberikan gambaran lebih jelas bagi setiap ahli dalam kumpulan kecil dalam memacu pembangunan kumpulan demi keperluan peribadi, kepentingan semua ahli dan mencapai keredhaan Allah SWT.

GITULAH ADANYA...

Harap2nya dapatlah kawan2 semua sebarluaskan blog alumni kita ni kepada kawan2 sama batch dengan kita nih. harap2 keahlian group tak formal kita ni akan bertambah dan berkembang biak dengan cepat!

wassalam, adios amigos!

Neezam,
Gemereh

Monday, August 23, 2010

Menjaga pertuturan dalam pergaulan, menitip hikmah Ramadan...

Assalamualaikum kawan! :)

Indahnyalah hari-hari dalam bulan puasa tahun ni. seindah sambutan Ramadan tahun-tahun lepas jua. Itulah yang mungkin menjadi getusan hati seorang Muslim dan Mukmin sejati yang benar2 dah jatuh chenta dengan kemuliaan dan barakahnya yang disajikan sepanjang Ramadan.

Entry kali ni, aku nak kongsi sedikit perihal MENJAGA PERTUTURAN DALAM PERGAULAN yang menjadi salah satu hikmah yang jarang-jarang kita jaga (terutamanya aku, ;p) dan ia sangat2 berkait rapat dalam hal 'halum minannas', yakni hubungan sesama manusia.

Kita selalu dengar orang suka cakap: 'ishhh, lazernya mulut mamat tu!' atau 'mulut ko ni patut kena insurans nih!' atau 'cakap biar berlapik' atau ' sebab molot badan kau aku binasakan!' atau 'mulut puaka betul minah tu!'

Semua cakap-cakap ni tak lain dan tak bukan bersandarkan kepada rasa sayu, terkilan, marah, terusik jiwanya dengan TUTUR KATA seseorang yang mungkin agak menjengkelkan atau mengguris hati atau bersifat sedikit keterlaluan.

Orang selalu sebut juga konsep hati-hati bila berbicara, takut2 apa yang dibicarakan tu 'tersalah masa, tersalah orang, tersalah topiknya'. Lantaran itu, fokus perbincangan yang ingin aku kongsikan ni tak lain dan tak bukan berpaksikan kepada peri pentingnya kita menjaga MOLOT dan BICARA kita.

Orang yang tersilap kata, selalunya akan memberi alasan, ALAAA AKU GURAU JEEEERR, TAKKAN TU PUN SALAH... memang betul, tak salah bergurau. tapi mesti KENA dengan audien yang boleh menerima gurauan kita itu. mesti KENA dengan masa dan tempatnya. agar apa yang kita tuturkan itu tak menusuk pedih ke sanubari orang-orang tertentu yang tak dapat menerima gurauan kita. Kalau orang yang boleh teruskan pergurauan tersebut, tak apa..teruskan. tapi, kalau kita rasa kita dah melampau batas, sampai orang tu terasa hati (merajuk ;p), tarik diri dan mohonlah maaf....

takpalah, kita terrrusss sajalah kepada intipati info yang aku nak kongsikan dengan korang ni. Semoga aku sendiri dan kawan2 akan lebih berhati2 bila bertutur. maaf jua kalau aku pernah berkasar dan tersalah gurau dengan sesiapa. selamat membaca! ;p


Pertuturan Dalam Pergaulan

Tutur kata yang dikeluarkan oleh seseorang dapat mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran,sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya.

Oleh itu, sewajarnya setiap insan memelihara lidahnya dan hendaklah berbicara menurut pertimbangan akal yang waras. bercakap benar, sopan santun, lembut dan lunak supaya sedap didengar dan elakkan daripada mengeluarkan kata-kata kotor.

Dalam kehidupan kita seharian, wadah pergaulan yang digunakan dapat dibahagikan kepada beberapa keadaan. Umpamanya melalui perbualan, penulisan atau perdebatan.

Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat tentang apa sahaja sama ada dalam percakapan, penulisan ataupun perdebatan. Walaubagaimanapun, ia mestilah tidak menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, saling menyalahkan, menghina,memaki hamun, mencaci, mengeluarkan kata-kata kotor,mengutuk, menyumpah, mengaibkan dan sebagainya hingga menyinggung perasaan orang lain apatah lagi saudara kita sesama Islam. Ini kerana ia boleh merenggangkan hubungan silaturrahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci. permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan.

Dalam hal ini bijak bistari pernah berpesan, 'berfikir itu pelita hati'.

Pepatah Melayu pula mengatakan, 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa'. Jika direnung, kedua-duanya memberikan pengertian yang begitu mendalam untuk kita jadikan panduan supaya sentiasa menjaga kesopanan dalam percakapan seharian.

Oleh itu, bagi mengelakkan berlakunya sebarang perselisihan dan suasana yang tidak menyenangkan maka kita perlulah berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Ibarat kata pepatah,'mulut kamu adalah harimau kamu.'Terdapat banyak ayat al-gur'an dan hadith Rasulullah s.a.w yang memberi peringatan dan panduan tentang adab dalam percakapan. Antaranya Firman Allah S.W.T.maksudnya: Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat contoh ucapan yang baik(mengajak berbuat baik, menjauhi perbuatan salah) seperti sebatang pohon yang baik (subur) akar kuat (terjunam ke dalam tanah) dan cabangnya(menjulang tinggi) ke langit. Pohon itu berbuah terus dengan izin tuhannya. Allah menjadikan contoh-contoh itu untuk manusia supaya mereka ingat selalu. Dan contoh perkataan yang buruk (seperti memfitnah, berdusta, mengajak berbuat mungkar dan lain-lain) seperti pohon yang busuk [mati] yang tercabut akar-akarnya dari permukaan bumi tidak tegak berdiri lagi. (Surah Ibrahim: 24-26)



'Wahai orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan ke’aiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,)maka amatlah buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang) sesudah ia beriman,Dan(ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.' (Surah al-Hujurat:11)



'Wahai orang yang beriman! Janganlah kebanyakan daripada sangkaan(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat)sudah tentu kamu jijik kepadanya. (patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah;sesungguhnya Allah Penerima taubat,lagi Maha Mengasihani.'
(Surah al-Hujurat:12).

Allah Ta'ala berfirman lagi yang bermaksud:

Dan orang yang menyakiti orang mukmin,lelaki atau perempuan, tanpa adanya sesuatu yang mereka lakukan, maka orang yang menyakiti itu menanggung kebohongan dan dosa yang nyata.'
(Surah al-Ahzab : 58)


Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka (Yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.'
(Surah al-Israa':53)


'Pergilah, kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah lembut,semoga ia beringat atau takut.'
(Surah Taha: 43-44)



Manakala sabda Rasulullah s.a.w tentang konteks menjaga tertib berbicara ini pula:

'Perbuatan memaki hamun seorang mukmin merupakan perkara fasiq dan perbuatan memeranginya hukunmya kufur'
(Riwayat al-Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Kedua-dua orang yang saling maki-memaki itu dosanya adalah atas orang yang memulai antara kedua-dua orang itu, sehingga yang dianiaya melanggar melebihi batas apa yang dikatakan oleh orang yang memulai tadi'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Seseorang mukmin bukan seseorang yang suka mencaci atau suka melaknat orang lain dan ia juga tidak bersifat jahat disamping ia tidak bersifat buruk.'
(Riwayat al Tirmidzi)

Maksudnya:
Dari Abu Zar r.a.,bahawasanya ia mendengar Rasulullah bersabda: Tidakkah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain,melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat tersebut.
(Riwayat al-Bukhari)

Maksudnya:
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Tidak sewajarnya bagi orang yang jujur itu suka mengutuk.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Cukuplah keburukan seseorang dengan menghinakan saudaranya yang muslim.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Daripada Jundub bin Abdullah r.a., katanya;Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Ada seorang lelaki berkata: 'Demi Allah, Allah tidak akan memberikan pengampunan kepada si Fulan itu.' Allah azzawajalla lalu bersabda:'Siapakah yang berani menyumpah-nyumpah atas nama-Ku bahawa Aku tidak akan mengampuni si Fulan itu, sesungguhnya Aku telah mengampuni orang itu dan Aku menghapuskan pahala amalanmu yakni yang bersumpah tadi.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Sesungguhnya saya diutus Allah tidak menjadi pengutuk, tetapi hanyalah menjadi rahmat.'
(Riwayat Muslim)

Abu Darda' menceritakan bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

Maksudnya: 'Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada Hari Kiamat.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Janganlah banyak bicara, jika tidak mengenai zikir Allah, maka sesungguhnya banyak bicara tanpa zikir Allah itu menjadikan hati pembicaranya kesat. Sesungguhnya orang yang paling jauh dari Allah pada hari Kiamat ialah orang yang kesat hati.'
(Riwayat at-Tirmidzi)


Maksudnya:
'Bersumber dari Abu Darda' r.a., ia berkata:Rasulullah s.a.w bersabda 'Sesungguhnya bila ada seseorang mengutuk sesuatu maka kutukan itu naik ke langit tetapi pintu~pintu langit itu ditutup tidak mahu menerima kutukan tersebut,kemudian kutukan itu turun ke bumi tetapi pintu-pintu bumi itu ditutup tidak mahu menerima kutukan tersebut, kemudian kutukan itu lari ke kanan dan ke kiri; apabila kutukan itu tidak mendapat tempat maka ia mencari orang yang dikutuknya,apabila orang itu patut mendapat kutukan maka ia kembali kepada orang yang mengucapkan kutukan tersebut.'
(Riwayat Abu Daud)

Maksudnya:
'Peliharalah lidahmu, kecuali tentang hal yang lebih baik, kerana sesungguhnya engkau dengan begitu telah mengalahkan syaitan!'
(Riwayat at-Tabarani)

Maksudnya:
Sesiapa yang menunjukkan kepada hal yang lebih baik maka bagaikan orang yang melakukannya dan sesiapa yang menunjukkan kepada yang lebih jahat maka ia bagaikan orang yang melakukannya.'
(Riwayat at-Tirmidzi)

Maksudnya:
Orang mukmin tidak suka mengutuk-ngutuk.'
(Riwayat at-Tirmidzi)

Maksudnya: 'Janganlah kamu mengutuk orang yang sudah meninggal dunia nanti kamu akan menyakiti orang yang masih hidup dengannya.'


**********************

untuk itu aku doakan kita semua akan mendapat hikmah dan pedoman, kalau tak banyak sedikit pun jadi berkaitan dengan usaha menjaga pertuturan dan bicara dalam pergaulan. aku tak reti nak berhujah-hujah panjang, sekadarnya yang termampu. semoga Allah sentiasa bimbing kita menjadi khalifah yang mampu meletakkan diri dalam golongan orang yang beriman dan menjadi ahli syurga di akhirat kelak, Insya Allah!

wokeh, babai!

p/s: hari2 aku lalu kat depan tempat kita semua nak pi iftar beramai2 tu...tak sabarnya menanti hari istimewa tu! ;p

neezam
Taman Bunga Raya,
Gemereh, Segamat.

Tuesday, August 17, 2010

Bersilaturrahim! 28 Augustus 2010!


MAJLIS BERBUKA PUASA BEKAS PELAJAR STS 1997

Tak sabarnya nak jumpa kawan-kawan semua dalam gathering iftar kita ni tak lama lagi. Bukan apa, bagi aku secara peribadinya, mungkin juga bagi sebilangan kita semua...inilah saat dan ketikanya yang paling ssyyyiiioook nak tengok perubahan masing-masing berbanding masa di sekolah dulu.

Dari segi fizikal dah tentulah banyak perubahan.

Dulu orang2 tu kecik melidi, sekarang sudah besooorrrr sehat. Dulu orang2 tu kemetot, sekarang ntah-ntah dak menggalah. Dulu orang2 tu tak pandai melawa, sekarang dah hensem cantik jelita setaraf pramugara pramugari dewa-dewaan. Dulu orang2 tu pendiam membisu, sekarang Masya Allah, pakar berbahas dan bertazkirah! Dulu orang2 tu nakal, sekarang kelihatan baikkknyaaaaa.... dan macam2 lagilah.

Masa ni jugaklah peluang dan ruang yang luas untuk kita rapatkan ukhwah dan silaturrahim sesama kita, sebab ukhwah fillah itu bukan sahaja tuntutan dalam Islam, tapi jua silaturrahim itu tuntutan yang merentasi semua agama dan budaya bangsa.

Mana yang jauh kita dekat-dekatkan, yang dekat kita rapat-rapatkan, yang rapat kita erat-eratkan, yang erat kita serasi-serasikan, yang serasi kita doa-doakan agar Allah pelihara hubungan persahabatan kita yang murni dan suci ini dapat memelihara kita dari cengkaman dosa dan noda dan sentiasa berlandaskan syariat Islam..amin ya rabb!

Akan kepentingan dan kelebihan silaturrahim ini, aku suka nak berkongsi dengan ringkas (walaupun ramai dah tau) bahawa ia telah disebut dengan jelas oleh junjungan yang kita cintai iaitu Rasulullah SAW.

Misalnya Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah R.A.telah berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda mafhumnya : Barang siapa yang mahu untuk dilapangkan rezekinya dan dimudahkan pengakhirkan ajalnya maka hendaklah ia menyambung silaturrahim.

Memutuskan silaturrahim pula hukumnya haram dan dikira melakukan maksiat besar sehingga mendapat laknat dari Allah SWT, sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud:

“(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan-jika kamu dapat memegang kuasa-kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?. (Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya.” (Surah Muhammad: Ayat 22-23)

Apatah lagi orang yang memutuskan silaturrahim ini tidak masuk syurga, sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.” (Hadith riwayat Muslim).



Dinyatakan jua oleh para alim ulama bahawa terdapat baaaaanyaaakkk keistimewaan atau kelebihan mengeratkan silaturrahim. Di antaranya adalah orang yang mengeratkan silaturrahim akan mendapat sepuluh kelebihan yang terpuji sepertimana disebutkan dalam kitab Bujairimi Ala al-Khatib:
1. Mendapat keredhaan Allah SWT kerana Dia memerintahkan umat manusia supaya memelihara dan mengeratkan silaturrahim.

2. Membawa kebahagiaan.

3. Para malaikat gembira kerana mereka gembira dengan eratnya silaturrahim itu.

4. Memperolehi pujian yang baik daripada orang.

5. Mengisi kesedihan Iblis.

6. Dipanjangkan umur.

7. Memperoleh keberkatan rezeki.

8. Orang yang meninggal dunia mendapat kebahagiaan kerana keturunannya gembira dengan eratnya silaturahim itu.

9. Bertambah-tambah kehormatannya.

10. Bertambah-tambah pahala selepas matinya kerana orang-orang mendoakannya setiap kali disebut kebaikannya.



Oklah, jangan lupa ya, tanda besor2 dalam diari tarikh 28 Ogos 2010, atau bubuh cantik2 tarikh 28 Ogos 2010 dalam desktop background, atau print dan tampal depan cermin solek tarikh 28 Ogos 2010. Insya Allah dengan izin al-Khaliq kita semua akan bersua muka pada tarikh 28 Ogos 2010 itu...

Warna tema BIRU PUTIH jangan dilupa yeeee..... daaaaaa....




Neezam
Taman Bunga Raya,
Gemereh, Segamat








Monday, August 9, 2010