Monday, August 23, 2010

Menjaga pertuturan dalam pergaulan, menitip hikmah Ramadan...

Assalamualaikum kawan! :)

Indahnyalah hari-hari dalam bulan puasa tahun ni. seindah sambutan Ramadan tahun-tahun lepas jua. Itulah yang mungkin menjadi getusan hati seorang Muslim dan Mukmin sejati yang benar2 dah jatuh chenta dengan kemuliaan dan barakahnya yang disajikan sepanjang Ramadan.

Entry kali ni, aku nak kongsi sedikit perihal MENJAGA PERTUTURAN DALAM PERGAULAN yang menjadi salah satu hikmah yang jarang-jarang kita jaga (terutamanya aku, ;p) dan ia sangat2 berkait rapat dalam hal 'halum minannas', yakni hubungan sesama manusia.

Kita selalu dengar orang suka cakap: 'ishhh, lazernya mulut mamat tu!' atau 'mulut ko ni patut kena insurans nih!' atau 'cakap biar berlapik' atau ' sebab molot badan kau aku binasakan!' atau 'mulut puaka betul minah tu!'

Semua cakap-cakap ni tak lain dan tak bukan bersandarkan kepada rasa sayu, terkilan, marah, terusik jiwanya dengan TUTUR KATA seseorang yang mungkin agak menjengkelkan atau mengguris hati atau bersifat sedikit keterlaluan.

Orang selalu sebut juga konsep hati-hati bila berbicara, takut2 apa yang dibicarakan tu 'tersalah masa, tersalah orang, tersalah topiknya'. Lantaran itu, fokus perbincangan yang ingin aku kongsikan ni tak lain dan tak bukan berpaksikan kepada peri pentingnya kita menjaga MOLOT dan BICARA kita.

Orang yang tersilap kata, selalunya akan memberi alasan, ALAAA AKU GURAU JEEEERR, TAKKAN TU PUN SALAH... memang betul, tak salah bergurau. tapi mesti KENA dengan audien yang boleh menerima gurauan kita itu. mesti KENA dengan masa dan tempatnya. agar apa yang kita tuturkan itu tak menusuk pedih ke sanubari orang-orang tertentu yang tak dapat menerima gurauan kita. Kalau orang yang boleh teruskan pergurauan tersebut, tak apa..teruskan. tapi, kalau kita rasa kita dah melampau batas, sampai orang tu terasa hati (merajuk ;p), tarik diri dan mohonlah maaf....

takpalah, kita terrrusss sajalah kepada intipati info yang aku nak kongsikan dengan korang ni. Semoga aku sendiri dan kawan2 akan lebih berhati2 bila bertutur. maaf jua kalau aku pernah berkasar dan tersalah gurau dengan sesiapa. selamat membaca! ;p


Pertuturan Dalam Pergaulan

Tutur kata yang dikeluarkan oleh seseorang dapat mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran,sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya.

Oleh itu, sewajarnya setiap insan memelihara lidahnya dan hendaklah berbicara menurut pertimbangan akal yang waras. bercakap benar, sopan santun, lembut dan lunak supaya sedap didengar dan elakkan daripada mengeluarkan kata-kata kotor.

Dalam kehidupan kita seharian, wadah pergaulan yang digunakan dapat dibahagikan kepada beberapa keadaan. Umpamanya melalui perbualan, penulisan atau perdebatan.

Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat tentang apa sahaja sama ada dalam percakapan, penulisan ataupun perdebatan. Walaubagaimanapun, ia mestilah tidak menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, saling menyalahkan, menghina,memaki hamun, mencaci, mengeluarkan kata-kata kotor,mengutuk, menyumpah, mengaibkan dan sebagainya hingga menyinggung perasaan orang lain apatah lagi saudara kita sesama Islam. Ini kerana ia boleh merenggangkan hubungan silaturrahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci. permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan.

Dalam hal ini bijak bistari pernah berpesan, 'berfikir itu pelita hati'.

Pepatah Melayu pula mengatakan, 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa'. Jika direnung, kedua-duanya memberikan pengertian yang begitu mendalam untuk kita jadikan panduan supaya sentiasa menjaga kesopanan dalam percakapan seharian.

Oleh itu, bagi mengelakkan berlakunya sebarang perselisihan dan suasana yang tidak menyenangkan maka kita perlulah berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Ibarat kata pepatah,'mulut kamu adalah harimau kamu.'Terdapat banyak ayat al-gur'an dan hadith Rasulullah s.a.w yang memberi peringatan dan panduan tentang adab dalam percakapan. Antaranya Firman Allah S.W.T.maksudnya: Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat contoh ucapan yang baik(mengajak berbuat baik, menjauhi perbuatan salah) seperti sebatang pohon yang baik (subur) akar kuat (terjunam ke dalam tanah) dan cabangnya(menjulang tinggi) ke langit. Pohon itu berbuah terus dengan izin tuhannya. Allah menjadikan contoh-contoh itu untuk manusia supaya mereka ingat selalu. Dan contoh perkataan yang buruk (seperti memfitnah, berdusta, mengajak berbuat mungkar dan lain-lain) seperti pohon yang busuk [mati] yang tercabut akar-akarnya dari permukaan bumi tidak tegak berdiri lagi. (Surah Ibrahim: 24-26)



'Wahai orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan ke’aiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,)maka amatlah buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang) sesudah ia beriman,Dan(ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.' (Surah al-Hujurat:11)



'Wahai orang yang beriman! Janganlah kebanyakan daripada sangkaan(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat)sudah tentu kamu jijik kepadanya. (patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah;sesungguhnya Allah Penerima taubat,lagi Maha Mengasihani.'
(Surah al-Hujurat:12).

Allah Ta'ala berfirman lagi yang bermaksud:

Dan orang yang menyakiti orang mukmin,lelaki atau perempuan, tanpa adanya sesuatu yang mereka lakukan, maka orang yang menyakiti itu menanggung kebohongan dan dosa yang nyata.'
(Surah al-Ahzab : 58)


Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka (Yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.'
(Surah al-Israa':53)


'Pergilah, kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah lembut,semoga ia beringat atau takut.'
(Surah Taha: 43-44)



Manakala sabda Rasulullah s.a.w tentang konteks menjaga tertib berbicara ini pula:

'Perbuatan memaki hamun seorang mukmin merupakan perkara fasiq dan perbuatan memeranginya hukunmya kufur'
(Riwayat al-Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Kedua-dua orang yang saling maki-memaki itu dosanya adalah atas orang yang memulai antara kedua-dua orang itu, sehingga yang dianiaya melanggar melebihi batas apa yang dikatakan oleh orang yang memulai tadi'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Seseorang mukmin bukan seseorang yang suka mencaci atau suka melaknat orang lain dan ia juga tidak bersifat jahat disamping ia tidak bersifat buruk.'
(Riwayat al Tirmidzi)

Maksudnya:
Dari Abu Zar r.a.,bahawasanya ia mendengar Rasulullah bersabda: Tidakkah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain,melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat tersebut.
(Riwayat al-Bukhari)

Maksudnya:
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Tidak sewajarnya bagi orang yang jujur itu suka mengutuk.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Cukuplah keburukan seseorang dengan menghinakan saudaranya yang muslim.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Daripada Jundub bin Abdullah r.a., katanya;Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Ada seorang lelaki berkata: 'Demi Allah, Allah tidak akan memberikan pengampunan kepada si Fulan itu.' Allah azzawajalla lalu bersabda:'Siapakah yang berani menyumpah-nyumpah atas nama-Ku bahawa Aku tidak akan mengampuni si Fulan itu, sesungguhnya Aku telah mengampuni orang itu dan Aku menghapuskan pahala amalanmu yakni yang bersumpah tadi.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Sesungguhnya saya diutus Allah tidak menjadi pengutuk, tetapi hanyalah menjadi rahmat.'
(Riwayat Muslim)

Abu Darda' menceritakan bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

Maksudnya: 'Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada Hari Kiamat.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Janganlah banyak bicara, jika tidak mengenai zikir Allah, maka sesungguhnya banyak bicara tanpa zikir Allah itu menjadikan hati pembicaranya kesat. Sesungguhnya orang yang paling jauh dari Allah pada hari Kiamat ialah orang yang kesat hati.'
(Riwayat at-Tirmidzi)


Maksudnya:
'Bersumber dari Abu Darda' r.a., ia berkata:Rasulullah s.a.w bersabda 'Sesungguhnya bila ada seseorang mengutuk sesuatu maka kutukan itu naik ke langit tetapi pintu~pintu langit itu ditutup tidak mahu menerima kutukan tersebut,kemudian kutukan itu turun ke bumi tetapi pintu-pintu bumi itu ditutup tidak mahu menerima kutukan tersebut, kemudian kutukan itu lari ke kanan dan ke kiri; apabila kutukan itu tidak mendapat tempat maka ia mencari orang yang dikutuknya,apabila orang itu patut mendapat kutukan maka ia kembali kepada orang yang mengucapkan kutukan tersebut.'
(Riwayat Abu Daud)

Maksudnya:
'Peliharalah lidahmu, kecuali tentang hal yang lebih baik, kerana sesungguhnya engkau dengan begitu telah mengalahkan syaitan!'
(Riwayat at-Tabarani)

Maksudnya:
Sesiapa yang menunjukkan kepada hal yang lebih baik maka bagaikan orang yang melakukannya dan sesiapa yang menunjukkan kepada yang lebih jahat maka ia bagaikan orang yang melakukannya.'
(Riwayat at-Tirmidzi)

Maksudnya:
Orang mukmin tidak suka mengutuk-ngutuk.'
(Riwayat at-Tirmidzi)

Maksudnya: 'Janganlah kamu mengutuk orang yang sudah meninggal dunia nanti kamu akan menyakiti orang yang masih hidup dengannya.'


**********************

untuk itu aku doakan kita semua akan mendapat hikmah dan pedoman, kalau tak banyak sedikit pun jadi berkaitan dengan usaha menjaga pertuturan dan bicara dalam pergaulan. aku tak reti nak berhujah-hujah panjang, sekadarnya yang termampu. semoga Allah sentiasa bimbing kita menjadi khalifah yang mampu meletakkan diri dalam golongan orang yang beriman dan menjadi ahli syurga di akhirat kelak, Insya Allah!

wokeh, babai!

p/s: hari2 aku lalu kat depan tempat kita semua nak pi iftar beramai2 tu...tak sabarnya menanti hari istimewa tu! ;p

neezam
Taman Bunga Raya,
Gemereh, Segamat.

Tuesday, August 17, 2010

Bersilaturrahim! 28 Augustus 2010!


MAJLIS BERBUKA PUASA BEKAS PELAJAR STS 1997

Tak sabarnya nak jumpa kawan-kawan semua dalam gathering iftar kita ni tak lama lagi. Bukan apa, bagi aku secara peribadinya, mungkin juga bagi sebilangan kita semua...inilah saat dan ketikanya yang paling ssyyyiiioook nak tengok perubahan masing-masing berbanding masa di sekolah dulu.

Dari segi fizikal dah tentulah banyak perubahan.

Dulu orang2 tu kecik melidi, sekarang sudah besooorrrr sehat. Dulu orang2 tu kemetot, sekarang ntah-ntah dak menggalah. Dulu orang2 tu tak pandai melawa, sekarang dah hensem cantik jelita setaraf pramugara pramugari dewa-dewaan. Dulu orang2 tu pendiam membisu, sekarang Masya Allah, pakar berbahas dan bertazkirah! Dulu orang2 tu nakal, sekarang kelihatan baikkknyaaaaa.... dan macam2 lagilah.

Masa ni jugaklah peluang dan ruang yang luas untuk kita rapatkan ukhwah dan silaturrahim sesama kita, sebab ukhwah fillah itu bukan sahaja tuntutan dalam Islam, tapi jua silaturrahim itu tuntutan yang merentasi semua agama dan budaya bangsa.

Mana yang jauh kita dekat-dekatkan, yang dekat kita rapat-rapatkan, yang rapat kita erat-eratkan, yang erat kita serasi-serasikan, yang serasi kita doa-doakan agar Allah pelihara hubungan persahabatan kita yang murni dan suci ini dapat memelihara kita dari cengkaman dosa dan noda dan sentiasa berlandaskan syariat Islam..amin ya rabb!

Akan kepentingan dan kelebihan silaturrahim ini, aku suka nak berkongsi dengan ringkas (walaupun ramai dah tau) bahawa ia telah disebut dengan jelas oleh junjungan yang kita cintai iaitu Rasulullah SAW.

Misalnya Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah R.A.telah berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda mafhumnya : Barang siapa yang mahu untuk dilapangkan rezekinya dan dimudahkan pengakhirkan ajalnya maka hendaklah ia menyambung silaturrahim.

Memutuskan silaturrahim pula hukumnya haram dan dikira melakukan maksiat besar sehingga mendapat laknat dari Allah SWT, sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud:

“(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan-jika kamu dapat memegang kuasa-kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?. (Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya.” (Surah Muhammad: Ayat 22-23)

Apatah lagi orang yang memutuskan silaturrahim ini tidak masuk syurga, sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.” (Hadith riwayat Muslim).



Dinyatakan jua oleh para alim ulama bahawa terdapat baaaaanyaaakkk keistimewaan atau kelebihan mengeratkan silaturrahim. Di antaranya adalah orang yang mengeratkan silaturrahim akan mendapat sepuluh kelebihan yang terpuji sepertimana disebutkan dalam kitab Bujairimi Ala al-Khatib:
1. Mendapat keredhaan Allah SWT kerana Dia memerintahkan umat manusia supaya memelihara dan mengeratkan silaturrahim.

2. Membawa kebahagiaan.

3. Para malaikat gembira kerana mereka gembira dengan eratnya silaturrahim itu.

4. Memperolehi pujian yang baik daripada orang.

5. Mengisi kesedihan Iblis.

6. Dipanjangkan umur.

7. Memperoleh keberkatan rezeki.

8. Orang yang meninggal dunia mendapat kebahagiaan kerana keturunannya gembira dengan eratnya silaturahim itu.

9. Bertambah-tambah kehormatannya.

10. Bertambah-tambah pahala selepas matinya kerana orang-orang mendoakannya setiap kali disebut kebaikannya.



Oklah, jangan lupa ya, tanda besor2 dalam diari tarikh 28 Ogos 2010, atau bubuh cantik2 tarikh 28 Ogos 2010 dalam desktop background, atau print dan tampal depan cermin solek tarikh 28 Ogos 2010. Insya Allah dengan izin al-Khaliq kita semua akan bersua muka pada tarikh 28 Ogos 2010 itu...

Warna tema BIRU PUTIH jangan dilupa yeeee..... daaaaaa....




Neezam
Taman Bunga Raya,
Gemereh, Segamat








Monday, August 9, 2010

Wednesday, July 14, 2010

Gathering 2010?

Salam.

Tanpa kita sedari, masa berlalu dengan begitu pantas. Insya Allah, bulan depan kita akan mula berpuasa. Dan seperti tahun terdahulu, kami (pihak admin) telah pun berbincang untuk mengadakan majlis berbuka puasa bagi batch kita bagi tahun ini.

Jadi pada tahun ini, kami mencari 100 orang bekas pelajar batch 1997 untuk menyertai majlis berbuka puasa yang akan di adakan pada;

Tarikh: 28 Ogos 2010

Tempat: Hotel VIP, Segamat.


Bayaran: Akan dikemaskini kemudian
.

Setakat ini kami telah berjaya mengumpulkan lebih kurang 30 penyertaan dan kami mengharapkan penyertaan lebih ramai lagi rakan-rakan terutamanya mereka yang tidak dapat menyertai majlis ini pada tahun lalu.

Untuk makluman, penyertaan majlis ini tidak hanya terhad kepada bekas pelajar yang beragama Islam sahaja. Penyertaan terbuka kepada semua kaum. Kita kan 1Malaysia?

Dan satu lagi, tak perlulah nak keluarkan ayat sadis, "Saya sekolah kat STS tu cuma setahun dua je, segan la nak join." Walaupun anda cuma bersekolah selama setahun atau dua tahun di STS tu, anda masih tergolong di dalam batch ini. Jadi, tak usah segan, ok? Anda dialu-alukan untuk menyertai majlis ini.

Untuk keterangan lanjut berkaitan majlis ini, sila hubungi antara penama di bawah;

Samsurizal Anuar - mentadak01@yahoo.com (012-315 0696)
Siti Hajar Abdul Hamid - reflection_2108@yahoo.com
Izawati Ahmad - izawatiahmad@yahoo.com.my
Zareen Ya'acob - ayeens08@yahoo.com

atau boleh tinggalkan private message di facebook kami (sekiranya anda mempunyai akaun facebook).

Lain-lain maklumat berkaitan akan kami kemaskini dari semasa ke semasa. Tolong uar-uarkan kepada rakan-rakan lain yang mungkin tidak mempunyai kemudahan internet. Terima kasih.

Monday, June 28, 2010

Salam Takziah

Salam takziah buat rakan-rakan kita yang kehilangan ahli keluarga dalam tempoh 2 minggu ni;

1. Azrin (3 RK 1-1995) yang kehilangan ayahanda tersayang pada hari Rabu, 23 Jun 2010 yang lalu dan

2. Izuan (5F -1997) yang kehilangan ibunda tersayang jam 9.30 malam tadi.

Marilah kita sama-sama hadiahkan Al-fatihah kepada kedua-dua arwah. Semoga mereka ditempatkan di kalangan orang yang soleh dan solehah di sisiNYA. Amin..

Dan semoga ahli keluarga mereka tabah menghadapi dugaan dariNYA ini.

Tuesday, June 22, 2010

1st entry from Waterdale Road, Bundoora, Melbourne.

ASSALAMUALAIKUM...

ALHAMDULILLAH..akhirnya tokey blog STS 1997 Alumni memberikan ruang jua kepada aku untuk jadi salah seorang penyumbang entry dalam blog 'pojaan hateku' kita ini..makasih banyak2 buat Hajar, kawan satu sekolah rendah, satu sekolah agama, satu sekolah menengah, satu fakulti, satu universiti dengan aku... ;p peace sis! aku balik Malaysia nanti aku belanja kau makan kat kedai Pak Ya! ;p

Salam muhibbah kawan2. Sebagai antara student STS yang suka carik glamor (masa kat STS jela ye.. ;p), elok aku kenalkan diri aku sket. Nama aku Neezam, belajar kat STS dari tahun 1993 sampai 1995 aje. Belajar kat kelas rancangan khas agama (Bahasa Arab masa PMR dapat D!), sekelas dengan Hajar tahun 1994-1995. Dulu aku Pengawas (cikgu yang sayang aku Cikgu Hanipah, Cikgu Ahmad Nizar, Cikgu Latipah, Cikgu Morsim, Cikgu Habsah Hassan, dan macam2 cekgu lain...hehehehe, perasannya!). Sekarang aku tengah menanggung satu tanggungjawab besar negara Malaysia di perantauan, dan Insya Allah aku akan bawak balik segala ilmu pengetahuan yang aku dapat kat negara orang ini untuk dikongsi oleh anak-anak bangsa aku terutamanya, dan seluruh rakyat Malaysia. Doakanlah benda2 baik yang kita buat sentiasa di bawah lembayung rahmat dan lindungan Allah SWT...aminnnn...buat masa ni aku baru ada sorang isteri dan dah ada dua anak. ;p

****************************
Arakian, eloklah aku mulakan entry aku yang julung-julung kalinya ni dengan sesuatu yang boleh bagi manfaat pada semua orang.

Aku nak kongsikan tentang tekanan perasaan. Juga bagaimana Islam memberikan panduan yang sangat cantik buat kita mengatasi tekanan perasaan.

Bila sebut pasal tekanan perasaan, kat mana2 saja kita akan rasa tertekan, baik di rumah, di opis atau di khalayak ramai. Asbabnya? memanglah faktor persekitaran..tapi harus diingat diri sendiri jugak adalah sumber tekanan perasaan–kenapa?

Sebab ada ramai dalam kalangan kita–termasuklah aku–yang kurang bijak mentadbir perasaan, kurang halus menilai faktor sekeliling dan menterjemahkan masalah sebagai bebanan besar...

Aku pernah telusuri dan huraikan kaedah mengatasi tekanan berpaksikan ajaran Islam dalam suratkabo beerapa taun lepas. Elok aku kongsikan dengan korang semua seperti mana di bawah ni...

***********************************


Solat, zikir, al-Quran terapi tekanan perasaan

DUNIA pekerjaan memang memberi pengaruh yang cukup terkesan dalam kehidupan. Apa tidaknya, satu pertiga daripada kehidupan seharian diluangkan di tempat kerja. Tekanan kerja jika bijak dikawal akan meningkatkan produktiviti kerja dan motivasi, tetapi jika sebaliknya akan memberi impak negatif kepada diri sendiri.

Tekanan disebabkan pekerjaan adalah interaksi kompleks antara persekitaran tempat kerja, personaliti dan reaksi tubuh badan serta mental seseorang. Persekitaran pekerjaan memberikan desakan serta tekanan tertentu yang merangsang tindak balas individu secara mental dan fizikal.

Tugas terlalu banyak, hubungan dengan rakan sekerja yang tidak baik, ketua suka marah dan suasana kerja tidak selesa adalah contoh persekitaran kerja yang memberi tekanan negatif. Tekanan itu seterusnya memberi impak terhadap kesihatan psikologi dan fisiologi seseorang individu jika tidak ditadbir atau tidak dikawal dengan metodologi tepat.

Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak dapat mengawal tekanan kerjanya. Panas baran, murung, gelisah, kelesuan, sentiasa rasa bersalah, ketakutan dan hilang tumpuan adalah antara kesannya.

Kadang kala ada di kalangan kita yang mencari jalan singkat dan salah dalam mengatasi tekanan seperti ponteng kerja, melakukan masalah disiplin di tempat kerja, merokok atau perkara dilarang. Berlaku juga kes di mana individu yang tertekan di tempat kerja melepaskan tekanan di rumah dengan mendera anak atau ke tahap melampau sehingga mahu membunuh diri.

Sebagai seorang Muslim, kita perlu sedar bahawa kaedah terbaik menangani tekanan kerja sebegini adalah dengan berpegang erat kepada ajaran dan syariat Islam. Islam menganjurkan mereka yang menghadapi tekanan dan kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional dan yakin dengan ketentuan Allah.

Allah memberikan panduan terbaik dalam menangani tekanan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-156)

Seperti ketentuan Allah, setiap apa yang ada di dunia ini berpasangan, seperti mana siang dan malam atau lelaki dan perempuan, begitu jugalah kesenangan dan kesukaran atau rahmat dan dugaan.

Kita harus menerima hakikat kehidupan manusia akan selalu diuji oleh Allah. Kita perlu meletakkan keyakinan bahawa ujian seperti tekanan kerja sebegini adalah bertujuan untuk memantapkan keimanan, ketakwaan, kesyukuran dan rasa cinta kita kepada-Nya.

Banyak kaedah menghadapi tekanan kerja berlandaskan ajaran Islam yang cukup berkesan untuk diamalkan.

Pertamanya, menjaga solat fardu lima waktu dan memperbanyakkan solat sunat. Banyak kajian pakar psikologi Barat sendiri yang memperakukan fadilat solat dalam memberi ketenangan jiwa dan pemikiran seseorang.

Menurut kesimpulan beberapa kajian sarjana barat, secara saintifiknya solat adalah suatu tempoh masa ‘aman dan damai’ di mana seluruh tubuh dan minda seseorang tertumpu kepada sesuatu (kepada Allah).

Gerakan dan keadaan minda dalam solat berupaya menghalang pengaliran keluar hormon seperti Cortisol, Epinephrine dan Norepinephrine daripada kelenjar adrenalin yang bertindak balas terhadap sebarang tekanan. Solat turut membantu memberi kesan positif terhadap sistem pernafasan, aliran oksigen dalam badan, degupan jantung dan gelombang otak.

Daripada konteks Islam, mendirikan solat fardu lima waktu, dilengkapkan dengan amalan solat sunat yang pelbagai, seseorang itu akan diberikan pertolongan oleh Allah dalam sebarang kesukaran.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 153)

Keduanya, dengan amalan berzikir seperti bertakbir, bertahmid dan bertasbih adalah amalan yang mampu menenangkan jiwa seperti jaminan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28)

Ketiga, mengamalkan mendengar, membaca dan menghayati tafsir al-Quran. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda.” (Hadis riwayat Bukhari)

Membaca al-Quran sendiri memberikan ketenangan kepada pembaca malah kepada sesiapa yang mendengar bacaannya apatah lagi jika ayat Allah itu difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan kerana al-Quran dan hadis adalah sumber teragung merungkaikan segala permasalahan.

Keempatnya, meletakkan keyakinan bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara dan akhirat jugalah tempat yang kekal selamanya. Dengan cara ini, jiwa akan terasuh untuk menyedari bahawa apa saja yang berlaku di dunia ini baik yang positif ataupun negatif sekadar warna kehidupan dunia yang tidak kekal lama dan akan mendapat balasan setimpal di akhirat kelak.

Tekanan yang dihadapi di tempat kerja akan menjadi sesuatu yang terlalu kerdil jika dibandingkan dengan apa yang akan dihadapi di Padang Mahsyar kelak. Diri kita akan sentiasa takutkan azab api neraka dan berusaha mencari keredaan-Nya dan dimasukkan ke dalam syurga.

Kelima, dengan amalan berdoa, memohon keampunan dan menyerahkan segala apa yang sudah diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk ketentuan-Nya. Allah berfirman yang bermaksud: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (Surah al-Ghaafir, ayat 60)

Kesimpulannya, walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang menyumbang kepada tekanan di tempat kerja, kita perlu sedar ia boleh dihadapi dengan jayanya jika tindak-tanduk kita menepati syariat Islam.



**********************

p/s: Masa susah ingat Allah, masa senang pun ingatlah Allah.... :) daaaaaaaa......